Telah berkata Shaykh Muhammad Ibn al-Habib r.a (1870-1971) dalam mukaddimmah Kitab Diwan Bugyatul Muridin as –Sairina wa Tuhfatul Salikina alArifin :
Segala pujian bagi Allah yang telah membangkitkan manusia di setiap zaman untuk menghidupkan semula jalan tariqNya. Dia telah membukakan bagi mereka limpahan Nur Muhammadiyya, dari mana semua para pencinta Allah yang mengikuti jejak mereka mendapat pertolongan, samada secara perseorangan atau berkumpulan jamaah. Kami memujiNya, Subhana wa Ta’ala kerana kurnia rahsia berharga yang mana Dia telah amanahkan kepada kami dan termasuk pemberian ilmu, makrifat dan nur haqiqat yang Dia telah curahkan ke atas kami. Kami amat bersyukur dan berterimakasih padaNya setelah menghitung kembali semua nikmat pemberian yang diberikan kepada kami dan semua hamba-hamba Allah yang lain samada yang bebas merdeka atau yang terikat.
Kami bersaksi bahawa Maulana Penaung kami Muhammad adalah Hamba dan RasulNya, diutuskan oleh Allah sebagai rahmat bagi sekalian makhluk, semoga Allah memberkati dan memberinya kesejahteraan dan atas keluarga dan sahabat-sahabatnya yang telah mengorbankan jiwaraga dan harta kekayaan mereka untuk menegakkan ajaranNya dan menghidupkan sunnahNya. dan mereka tidak berganjak ke arah kebinasaan golongan yang munafik dan jahil.
Wahai ikhwan saudara kita dari Tariqa Darqawiyya – Shadhiliyya dan yang lain dari kalangan hamba-hamba Tuhan di semua negeri-negeri milik Allah yang bertekad untuk mengikuti seorang guru Shaykh, ketahuilah bahawa Allah Ta’ala telah mentakdirkan bagi jalan mulia ini disetiap zaman akan ada mereka yang akan membetulkan penyelewengan dan menzahirkan rahsia asrar dan nur haqiqatnya. Dia adalah seorang Shaykh yang menyatukan Shariat dan Haqiqat dengan mendapat idzin dari Allah dan RasulNya serta para Awliya Allah yang kamil. Dia adalah insan al-Muhammadiyya yang unik yang mana hanya terdapat seorang sahaja di setiap zaman. Jikapun, di zamannya terdapat ramai bilangan Shuyukh, dia mengatasi mereka semua, samada mereka sedar atau tidak. Ramai yang telah cuba membuat pengakuan mencapai maqam istimewa ini dengan bukti palsu dan pembohongan kerana mereka mencari nama dan pangkat dan tamak untuk menguasai dunia yang tidak kekal ini. Mereka yang berpura-pura tidak sedar bahawa barangsiapa yang mendakwa apa yang tiada dalam dirinya akan terbuka rahsia mereka oleh saksi-saksi dalam ujian penentu, dihadapan mereka, seseorang itu samada dimuliakan atau dihinakan.
Para Shuyukh yang hakiki sentiasa berpuas hati hanya dengan ilmu Allah dan bergantung hanya padaNya. Semua limpahan kebenaran dari mereka adalah dari memperkatakan baraka dari Allah.Allah Taala telah berfirman :“Adapun mengenai baraka pemberian dari Tuhan kamu maka perkatakan/beritahulah kepada yang lain” – Surah Dhuha.
Maka dengan ayat keterangan tadi, saya Muhammad Ibn al-Habib al-Amghari al-Hassani mengikut nasabnya, yang menetap di Fez, hambaNya yang faqir tetapi diperkayakan olehNya dari selainNya mengisytiharkan, dalam memperkatakan baraka Allah – bahawa idzin (kebenaran) telah diberikan padanya dari Allah dan RasulBlllah dan semua awliya yang sempurna kamil dan bahawa Allah telah mengkhususkan baginya ilmu-ilmu dan rahsia haqiqat yang hanya insan al-Muhammadi yang unik sahaja memperolehinya. Jika kami mahu menceritakan segala apa yang Allah berkata atas kami, tentunya memerlukan beberapa jilid buku, tetapi kami akan meriwayatkan buat pengetahuan para Fuqara bagaimana penghargaan Shaykh dan guru kami Sidi Muhammad Ibn Ali telah berikan kepada kami. Apabila dia, semoga Allah meridhainya, diangkat mengetuai tariqat tersebut, kami pun menulis surat kepadanya memperbaharui ikatan perhubungan kami dengannya sungguhpun kami telah mengambil tariq ini dari Shaykh dan Arifbillah Sidi al-Arabi Ibn al-Huwari. Dia, semoga Allah meridhainya menulis semula kepada kami dan memerintahkan kami datang berjumpa berhadapan dengannya. Maka kami memenuhi arahan tersebut dan pergi ke Marrakesh. Apabila kami masuk menemuinya, dia begitu gembira sekali dan penuh kegirangan dan seraya berkata kepada kami :
“Seluruh tariq ini datang kepada aku, apabila engkau datang !”
Dan pada ketika lain, dia berkata kepada kami mengenai masa depan, semoga ianya tidak luput dari ingatan,
”Kedudukan engkau di sisi kami dalam tariqa kami adalah sama seperti contoh Ibn ‘Ataillah di dalam tariqa Shadhiliyya. Sebagaimana Allah membangkitkan semula jalan Shahiliyya menerusi Ibn ‘Ataillah, maka Dia juga akan menegakkan tariqa yang berkat ini menerusi engkau, jika Dia menghendakinya“.
Dan sesungguhnya Allah telah mengabulkan doanya melalui kami. Demi Allah dan demi Allah, tiada suatu pekan, bandar atau ceruk dipadang pasir yang kami kunjungi melainkan penduduknya terus merasakan bahawa kasih sayang telah terpancar dijiwa mereka dan kebahagiaan hidup mengalir dihati qalbu mereka. Begitulah rahsia berkat idzin Allah. Segala pujian bagi Allah, tiada faqir yang duduk bersama kami melainkan bertambah ilmunya, dan darinya hati mereka menjadi lembut dan penuh tawadhuk. Tiada murid tariqa yang duduk bersama kami melainkan ehwal rohaniahnya bertambah teguh dan himmanya bertambah tinggi dalam mencari marifa Allah. Begitu juga tiada Shaykh dari kalangan Shuyukh sezaman yang bertemu melainkan bertambah lagi dhawq dan memperolehi sesuatu manfaat yang belum dimilikinya selama ini. Kesemua ini adalah kemurahan kurnia dari rahsia idzin dan barakanya (dari Allah).Ibn Ata’illah telah berkata dalam Kitab Hikamnya :
“Barangsiapa telah diberikan idzin kebenaran untuk bersyarah maka perkataannya akan d difahami oleh makhluk dan bukti mengenai keistimewaannya akan dibuka untuk pengetahuan mereka.”
Mereka yang memperolehi idzin adalah mereka yang bertutur kerana Allah dan untuk Allah, maka perkataannya mempunyai kesan dihati, dan semua mereka yang terpilih dan para pencinta Allah akan menerima petunjuk darinya.Shaykh kepada Shaykh kami, Sidi Muhammad Ibn al-Arabi semoga Allah meridhainya, pernah berkata : “Demi Allah, tiada seseorang yang datang kepada aku melainkan mendapat penerimaan.”Dan adalah hamba (Shaykh Muhammad Ibn al-Habib) berkata mengenai baraka Allah : “Demi Allah, tiada seseorang yang datang kepada ku melainkan dikasihi.” Nabi al-Mustafa , semoga Allah memberkati dan memberikan kesejahteraan berkata kepada daku dalam suatu mimpi : “Ketahuilah, wahai anakku, bahawa Allah akan memuliakan engkau dengan kurnia air minuman yang manis dan segar.” . Aku pun bertanya :“Wahai Rasulullah, adakah air tersebut mengisyaratkan Islam, Iman dan Ihsan ?”Dia Sallallahu alaihi Wassalam menjawab : “Benar, demikian itu.” Aku bertanya lagi : “Ya Rasulullah, adakah aku seorang saja yang meneguk air-air tersebut atau aku dan semua mereka yang mengikutiku ?”Rasul s.a.w menjawab :“Untuk engkau dan semua orang yang mengikutimu dari kalangan umatku boleh menikmatinya”. Dan Allah mengabulkan bagi kami apa yang Dia janjikan, Demi Allah, kami telah menghirup minuman segar tersebut dan kelak untuk semua yang mengikuti kami dengan ikhlas akan juga menikmatinya.
Maka, oh saudaraku yang dimuliakan, berilah pujian dan kesyukuran pada Allah Taala dan berterimakasih padaNya dari apa yang Dia telah kurniakan keatas kamu di zaman kamu ini.Allah Taala telah berfirman :-“Tidaklah Kami memansuhkan sesuatu ayat atau membuat ianya dilupakan tetapi Kami akan menggantikannya dengan yang lebih baik atau yang sama dengannya “.Allah Taala telah memberikan keutamaan ke atas ganti ayat yang lebih baik dari yang setaraf sebagai isyarat bahawa waris pengganti kepada wali yang kamil tersebut mesti muncul walaupun beberapa waktu telah berlalu. Dan dia adalah lebih sempurna dari yang terdahulu dalam ilmu dan marifa Allah Taala. Dia adalah tanda keunggulan kepada wali yang kamil itu. Maka limpah kurnia fadhl Allah terus bertambah dan tiada terhenti.
Telah berkata Shaykh Ahmad al-Badawi, tuan dan guru kami, semoga Allah ridha dengannya :- “Limpah kemurahanMu terus mengalir dan kewujudanMu tidak pernah terputus “Aku telah mengisyaratkan sebahagian dari apa yang Allah telah kurniakan atas diriku dalam qasida yang menyebut tentang baraka Allah bernama “Pakaian Taqarrub” seperti berikut :- “Dhikr dari Tuhan yang dikasihi telah memberikan kami pakaian yang indah, kegemilangan cahaya, kemuliaan dan kegembiraan.Dalam bertaqarrub padaNya, kami melemparkan segala rasa segan dan melaungkan Dia yang kami kasihi dengan pujian “.
Apabila Shaykh Sidi Muhammad ibn Ali, semoga Allah meridhainya, meninggal dunia, dan idzin tersebut telah diperbaharui melalui diriku, aku memandang diriku tidak layak dan serba kekurangan buat menerima maqam/ tersebut sehingga empat Shaykh besar mendatangi aku dalam mimpi. Mereka adalah Sidi Muhammad ibn Ali, Sidi al-Arabi ibn al-Huwari, Sidi Muhammad al-Arabi dan Sidi Ahmad al-Badawi, semoga Allah meridhai mereka semua. Mereka memerintahkan aku keluar berhadapan dengan makhluk dan membimbingi mereka kepada Raja yang haqq. Mereka berkata, “Air minuman yang engkau telah teguk dari kami adalah yang paling sejuk, segar dan manis, maka hamparkan tanganmu ke timur dan ke barat, usah gentar dengan sesiapa!” Kemudian, idzin itu pun datang dari al-Mustafa, semoga Allah memberkati dan memberinya kesejahteraan, dan aku pun memberanikan diri untuk keluar. Maka aku keluar berhadapan dengan makhluk kerana Allah dan untuk Allah, mengucapkan sepertimana disebut oleh Ibn Ataillah dalam Hikamnya :
“Oh Allah, Engkau telah memerintahkan aku kembalikepada alam makhluk, maka kembalikanlah akudengan pakaian dari cahaya nur dan petunjuk furqan,supaya aku dapat kembali padaMu. Sepertimana aku dapat pergi kepada Engkaudari alam ini dengan rahsiaku suci dari rintangan itu dan himmaku melepasi dari pergantungan ke atas alam makhluk. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa atas tiap tiap sesuatu.”
Ketahuilah para saudaraku, adalah wajib bagi setiap murid yang ingin mencari dan mencapai hadrat Allah supaya mengambil Shaykh yang hidup. Bukti kewajipan ini terkandung dalam ayatNya, Maha Suci Dia : “Wahai orang yang beriman, bertaqwalah pada Allah dan hendaklah engkau bersama-sama mereka yang siddiqin.” Bersama dengan mereka bermakna berkumpul dengan mereka dengan tubuh, bukan ruhnya sahaja. Allah juga telah berfirman : “Ikutilah jalan mereka yang telah berinaba – berpaling dari nafsu untuk menghadapi Aku”. Dalam ayat ini, Allah Maha Suci Dia, telah memerintahkan para walad (mereka yang baru berjalan) supaya mengikuti seorang bapa rohaniah, bukan bapa zahir/jasad mereka. “Jika engkau menjumpai orang seperti yang diterangkan, maka mengembaralah dan menyerahkandirimu tanpa halangan lagi. Jangan memikirkan perkara yang lain kecuali apa yang saya nyatakan disini, kerana ianya mencukupi buatmu serta mengandungi segala kebahagiaan.
Imam al-Junaid, semoga Allah meridhainya berkata:
“Sucikanlah dirimu dengan air dalam alam Ghaib, jika kamu seorang yang memiliki rahsia hati. Jika tidak, buatlah tayammum dengan debu atau batu. Pergilah kehadapan seorang Imam di mana kamu berdiri mengikutnya dan tunaikanlah salat zuhur pada permulaan asar. Ini adalah salat mereka yang arif mengenal Tuhan mereka. Jika kamu adalah seorang dari mereka, maka basahi bumi kering ini dengan air laut.”
Dia, semoga Allah meridhainya memerintahkan murid itu menyucikan dirinya dengan air dari alam Ghaib. Adalah difahami bahawa taharah penyucian itu ada dua jenis iaitu :penyucian zahir dengan menggunakan air biasa, dan ini meliputi.seluruh tubuh badan jika berhadath besar, dan terbatas kepada beberapa anggota badan jika berhadath kecil. Ini bukan apa yang ditujukan oleh pengarang di atas, semoga Allah meridhainya. Penyucian jenis kedua bercorak rohaniah iaitu menyucikan hati-qalbu dari penyakit-penyakit yang menhijabkan mereka dari menyaksikan Hadrat Allamul-Ghaib. Penyucian ini hanya, boleh dilakukan dengan air rohaniah, iaitu dari jenis-jenis air ilmu, marifa dan asrar keTuhanan yang mengalir dari Hadratt Alam Ghaib kedalam qalbu seseorang Shaykh yang arif mengenal Allah, terpelihara dari kesalahan. Shaykh itu kemudian mencurahkan keatas murid tersebut dan dia pun menyucikan hatinya dari kotoran lain dan mengisinya dengan marifa dan asrar. Begitulah jika murid itu memiliki suatu rahsia sirr, yakni pandangan batin, yang mana membawanya berdepan dengan seseorang yang akan membimbing tangannya, iaitu seorang Shaykh yang mengambil kekuatannya dari Hadrat Ghaib seperti diterangkan terdahulu. Jika murid itu tidak memiliki sirr dan ainul-basirah ini, maka dia mesti membuat tayammum dengan debu-debu amalan zahir dan pengetahuan asas sehingga Allah mengurniakan dia sirr dan ainul-basirah.
Seterusnya al-Junaid mengisyaratkan, semoga Allah meridhainya, dengan kenyataan berikut :-“Pergilah kehadapan seorang imam yang mana engkau akan mengikutinya” Bermaksud, murid itu mesti berhadapan dan mengambil seorang Shaykh, yang arif billah, buat meniru dia dalam salat rohaniah yang hakiki yakni bermusyahada langsung akan Raja yang disembah, sepertimana diwajibkan atas seorang yang beriman untuk membuat ruku dan sujud. Perkataannya ” Bergeraklah ke hadapan imam yang engkau akan mengikutnya” menunjukkan supaya murid itu tidak mengikut sebarang Shaykh melainkan ianya telah dikenalinya dialam rohaniah lagi. Nabi s.a.w. berkata : “Semua arwah(ruh) kita mernpunyai kenalan, jika mereka bertemu akan terus berasa harmoni/serasi dan mereka yang tidak dikenali akan terasa asing.”Maknanya yang sebenar ialah “Pergilah kehadapan seorang imam di alam nyata yang mana sudah terlebih dahulu kamu sudah mengenalinya di alam ruh.”Kerana pertemuan dan pengenalan yang telah berlaku dialam ghaib/arwah, menghasilkan kesesuaian yang harmoni di alam nyata.
Perkataannya Imam Junayd : “Buatlah salat zuhur pada awal waktu asar”, dia memaksudkan sembahyang zuhur iaitu pengzahiran (zuhur) kehendakmu pada Tuhanmu iaitu penyaksian langsung akan Raja yang disembah, seperti yang kami terangkan. ‘Asar’ (salat Asar) bermakna ‘kumpul bersama’ (mu’asara) dengan Shaykh kamu dan melenyapkan irada kehendakmu padanya. Dia (al-Junaid), semoga Allah meridhainya tidak merujuk kepada salat zuhur dan asar yang mengandungi ruku dan sujud kerana ada diketahui bahawa salat zuhur mesti dilakukan pada permulaan waktunya bukan pada awal waktu asar. Maka, makna sebenarnya amat cocok sekali, hendaklah difahami dan kamu akan memperolehi petunjuk – dan Allahlah tempat sandaran petunjuk kami dan petunjuk untuk seluruh makhluk. Amin. Adapun perkataannya : “Ini adalah salat mereka yang arif mengenal Tuhan mereka “ianya bermaksud penyaksian musyahada secara lansung akan Raja yang disembah. Salat mereka ini tidak terputus atau terhijab kerana ianya berterusan. Mereka kekal dalam musyahada Tuhan mereka. Perkataannya : “Jika engkau adalah seorang dari mereka, maka basahilah bumi dengan air lautan” bermakna jika engkau adalah seorang arifun dan mereka ini tidak terhijab oleh makhluk dari al-Haqq, tidak juga yang al-Haqq terhijab dari makhluk, maka basahi, yakni siramkanlah jalan kering bumi (shariat) dengan laut (haqiqat) dirimu, dan hendaklah kamu bersama golongan yang menyatukan kedua aspek tersebut. Yakni, murid itu mestilah menyempurnakan dua bentuk ubudiyya iaitu ubudiyya yang diwajibkan dan ubudiyya secara petunjuk bimbingan.
Begitu juga apabila Imam Malik, semoga Allah meridhainya mengatakan : “Barangsiapa yang mengamalkan shariat dan tidak menerima haqiqat (yakni keyakinan lansung) telah tersasar dari jalan yang lurus. Barangsiapa yang mengaku mencapai haqiqat tetapi tidak mengamalkan shariat adalah ingkar. Siapa yang telah menyatukan keduanya adalah yang muhaqqiq (mencapai kebenaran).”
Catatan Isnad dan Silsilah Tariqa Darqawiyya hingga Shaykh Ali al-Jamal
Seperti di bawah:
Sh. Ali al-Jamal ( (d.1773)/1194H
Sh. Mulay al-Arabi ad-Darqawi (1729 – d.1814)
Sh. Muhammad Buzidi
Sh. Ahmad al-Badawi
Sh. Ibn Ajibah Sh. Muhammad ibn. Al-Arabi
Sh. al-Arabi al-Hawwari
Sh. Muhammad bin Ali
Sh.Muhammad ibn al-Habib(1870-1971)
dan Shaykh al-Fayturi (1976) -
Shaykh Abdal Qadir as-Sufi
(London, Norwich, Granada, Weimar, Scotland, Cape Town)